Kritikan Anugerah Juara Lagu ke-23

AJL 23 menghadapi kritikan apabila dituduh mengamalkan sikap pilih kasih apabila tiga lagu kategori Balada dari Ayu dan Faizal Tahir, dua artis lepasan rancangan realiti One in a Million di 8TV yang dinaungi Media Prima bersama TV3, layak ke AJL sedangkan lagu Dingin oleh Ziana Zain yang dikatakan lebih bagus berbanding lagu-lagu tersebut dalam kategori yang sama gagal pula. Walaupun begitu, lagu Dingin dilayakkan di saat akhir pada malam separuh akhir kategori Pop Rock, setelah didapati "berada di tangga ke-14 terbaik di kalangan semua lagu di separuh akhir, lebih baik berbanding calon lagu Pop Rock yang lain," berasaskan keputusan pengadil.[4]

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif TV3 Dato' Amrin Awaluddin mengenai perihal ini, "Kami memang amat peka dan sensitif terhadap perkara-perkara seperti ini. Jika dikatakan pihak AJL mengamalkan kronism, lagu Shila, “Memori Tercipta” tidak berjaya pula ke peringkat akhir AJL23 walaupun ia popular. Ini kerana bagi panel juri, lagu tersebut tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.[5] Andai kami tidak telus, sudah pasti lagu itu juga melepasi senarai peserta akhir. Berdasarkan ulasan daripada juri profesional yang terbabit dalam penjurian pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik, dua lagu nyanyian Faizal selain Ayu adalah antara sentuhan yang menerima markah terbaik daripada mereka".[6]